Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga dikenali dengan sebagai kontingen LIONS mempertahankan kejuaraan apabila mengungguli Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti (MASUM) yang melabuhkan tirainya semalam. Kejohanan yang berlangsung bermula 23 Julai hingga 3 Ogos di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kuantan, Pahang itu menyaksikan UiTM memungut 64 pingat emas,  33 perak dan 35 gangsa. Pencabar terdekat Universiti Putra Malaysia (UPM) hanya meraih 44 pingat emas, 38 perak, 27 gangsa  manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tempat ke tiga dengan kutipan pingat 20 emas, 17 perak dan 28 gangsa. Kejohanan kali ini mempertaruhkan 19 acara sukan yang dipertandingkan. Kejohanan yang melabuhkan tirai pada 3 Ogos 2019 menyaksikan pasukan The Lions terus menggondol pingat bagi acara Silat menyumbang tujuh emas, Memanah empat emas manakala Bola Baling Wanita, Ping Pong beregu Lelaki, Badminton perseorangan Lelaki dan Boling Padang Triples Wanita masing-masing menyumbang 1 pingat emas di hari terakhir kejohanan. Untuk rekod, UiTM berjaya mempertahankan kejuaraan karnival MASUM ini dari edisi yang lepas.